Kesan-kesan positif kemajuan industri pelancongan :
Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang
dan mendatangkan keuntungan yang besar dalam bentuk tukaran asing serta
menaikkan nama Malaysia di mata dunia. Dalam konteks dunia hari ini, sektor pelancongan menjadi bidang yang penting dalam menyumbangkan pendapatan negara. Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika yang indah dan mempunyai potensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong
antarabangsa tetapi juga menawan warga tempatannya. Saban tahun, jutaan pelancong sama ada pelancong luar atau pelancong domestik mengunjungi tempat-tempat yang menarik di negara kita. Kemajuan sektor pelancongan ini memberikan kesan yang positif kepada rakyat dan negara.
Antara kesan positif kemajuan industri pelancongan ialah pertambahan kemudahan infrastruktur di negara kita bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Kemudahan infrastruktur ini meliputi pengangkutan awam, tandas awam, dan hentian rehat dan rawat. Kita dapat melihat dengan mata kepala kita sendiri tentang tahap kualiti kemudahan tersebut sehingga memuaskan hati semua pihak. Sebagai contohnya, pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dapat menawarkan kemudahan pengangkutan kepada rakayat sekali gus kepada pelancong luar negara.
Selain itu, kemajuan industri pelancongan juga dapat memperkenalkan dan memajukan industri kraf tangan negara kita. Hal ini dikatakan demikian kerana tak kenal maka tak cinta. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Banyak pelancong luar yang berkunjung ke negara kita membeli barangan kraf sebagai buah tangan kepada sanak saudara dan rakan taulan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, songket, labu sayung, seramik amat cantik dari segi bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati. Permintaan yang tinggi terhadap barangan kraf tangan ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pendapatan pengusaha kraf tangan di negara kita. Malahan, terdapat pengusaha yang membuka kilang secara besar-besaran bagi memenuhi permintaan pelancong luar yang semakin meningkat. Ironinya perkara ini bukan sahaja akan meningkatkan imej Malaysia
sebagai negara berbilang bangsa malahan dapat meningkatkan ekonomi
negara menerusi sektor pelancongan.
Di samping itu, kemajuan industri pelancongan juga akan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat tempatan. Dalam memastikan pergerakan pelancongan berjalan dengan lancar, industri pelancongan akan memerlukan tenaga kerja dalam bidang yang berkaitan. Sebagai contohnya, apabila sesebuah resort dibuka, biasanya ratusan pekerja diperlukan bagi mengisi kekosongan jawatan sebagai penyambut tetamu, pengemas bilik, tukang masak dan sebagainya. Oleh itu, masalah pengangguran yang berlaku dalam kalangan rakyat rempatan dapat ditangani menerusi kemajuan sektor pelancongan. Tambahan pula, taraf hidup rakyat juga dapat ditingkatkan.
Sementara itu, kemajuan sektor pelancongan dapat menambahkan pendapatan negara. Pertambahan pendapatan negara menerusi pertukaran wang asing serta cukai yang dikenakan kepada mereka akan membolehkan kerajaan memberikan perkhidmatan dan sumbangan yang lebih kepada rakyat. Sebagai contohnya, kerajaan perlu menambahkan subsidi bagi barangan runcit yang kerap digunakan oleh rakyat. Dengan itu, harga barangan tersebut akan menjadi lebih murah dan tidak membebankan golongan yang berpendapatan rendah.
Seterusnya, budaya Malaysia yang unik dapat diperkenalkan kepada dunia luar. Malaysia terkenal dengan penduduknya yang terdiri dengan pelbagai kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain. Setiap kaum di negara kita mempunyai adat istiadat, budaya dan cara pemakanan yang tersendiri yang mampu menarik minat pelancong luar. Industri pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong luar yang datang juga mendapat peluang untuk melihat sendiri persembahan kesenian tradisional seperti wayang kulit dan kuda kepang malahan lagi, mendapat pengetahuan mengenai permainan dan pakaian tradisional. Pengalaman sebegini mampu menjadi memori indah buat pelancong luar yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita.
Kesimpulannya, kemajuan industri pelancongan memberikan impak yang tinggi terhadap rakyat dan negara. Oleh itu, segala usaha perlu digembleng untuk melipatgandakan kemasukan pelancong luar ke negara kita agar lebih banyak manfaat yang dapat diperoleh oleh rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment