Unsur-unsur Kebudayaan

- CONTOH KARANGAN -

Kepentingan mempertahankan unsur-unsur kebudayaan untuk masyarakat dan negara dan kesan sekiranya unsur ini dipinggirkan :

          Satu persepsi umum yang menyedihkan dalam kalangan masyarakat moden hari ini ialah segala yang berkaitan dengan kebudayaan dikaitkan dengan kemunduran. Malah segala unsur kebudayaan dianggap usang, kuno, ketinggalan zaman, dan tidak melambangkan pemodenan. Sesungguhnya, pandangan ini amat berbahaya dan akan membawa manusia ke arah kehancuran. Tidak kira betapa mengagumkan sekalipun pencapaian material kita, namun segala-galanya tidak akan bermakna sekiranya kita melupakan unsur kebudayaan kita.

          Kebudayaan dan segala unsur yang terkandung dalam kebudayaan tersebut merupakan sebahagian daripada amalan hidup nenek moyang yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman. Hal ini meliputi cara hidup, prinsip pegangan, dan tatacara dalam menjalani kehidupan. Satu perkara yang perlu disedari oleh semua ialah segala amalan hidup ini bersulamkan nilai-nilai murni yang bertujuan untuk menjamin kebahagiaan hidup manusia dan kesejahteraan masyarakat. Sekiranya diamati dengan teliti, kita akan dapat melihat bahawa segala unsur ini berpaksikan nilai menghormati alam dan manusia, kesederhanaan, rendah diri, dan kesopanan. Pendek kata, manusia yang mengamalkan budaya secara tidak langsung akan turut mengamalkan nilai-nilai murni yang sebati dalam budaya tersebut. Oleh itu, pengamalan unsur-unsur kebudayaan ini merupakan wahana terbaik untuk memastikan kita tidak melupakan nilai-nilai murni yang telah menjadi pegangan nenek moyang kita dan turut menjadikannya sebahagian daripada kehidupan kita.

          Seterusnya, unsur-unsur kebudayaan juga merupakan petunjuk yang membolehkan kita memhami asal usul diri dan bangsa kita. Unsur-unsur kebudayaan peninggalan nenek moyang kita merupakan petunjuk yang jelas untuk mencerminkan pemikiran dan falsafah pegangan mereka. Di sebalik unsur kebudayaan yang ditinggalkan itu tersembunyi seribu satu rahsia ketinggian adab, kreativiti, imaginasi, dan cara hidup yang diamalkan oleh generasi yang terdahulu. Oleh itu, seseorang individu yang sensitif akan mampu menjadikan unsur-unsur kebudayaan tersebut sebagai bukti arkeologi yang berkesan untuk memhami sejarah hidup bangsanya.

       Selain itu, unsur-unsur kebudayaan juga mengukuhkan jati diri dan harga diri masyarakat. Kegemilangan pemikiran dan cara hidup masyarakat silam yang terpancar menerusi warisan budaya yang ditinggalkan itu akan mengetuk kesedaran kita terhadap ketinggian tamadun dan peradaban generasi terdahulu. Kita akan dapat memahami bahawa kita adalah satu keturunan yang kaya dengan peradaban dan menjalani kehidupan yang teratur  bersendikan tatasusila universal. Hal ini seterusnya akan mengikis sikap terlalu mengagungkan budaya asing, terutamanya budaya Barat yang terang lagi bersuluh bercanggah dengan budaya kita dan memandang enteng terhadap warisan sendiri.

          Sesungguhnya, amalan budaya silam sangat penting untuk dipertahankan oleh setiap individu di negara ini. Sekiranya unsur-unsur ini diabaikan dan dilupakan, kita akan kehilangan identiti kita sebagai satu bangsa yang bersejarah dan bertamadun. Lebih menyedihkan, kita tidak akan mempunyai sebarang pedoman yang boleh dijadikan pegangan untuk menjalani di dunia yang penuh mencabar ini tatkala meniti arus pemodenan. Tambahan pula, kita tidak akan mempunyai sebarang prinsip atau falsafah untuk bersandar dan akan membiarkan diri kita hanyut dalam peredaran zaman yang dipenuhi pelbagai maksiat dan gejala yang bertentangan dengan akidah dan agama.

          Kebudayaan merupakan sumber nilai untuk masyarakat. Masyarakat yang melupakan budaya akan turut mengabaikan nilai-nilai murni. Manusia tanpa nilai tidak akan mungkin dapat membentuk sebuah kominiti yang harmoni. Sebaliknya, setiap individu akan diselubungi sikap individalistik yang menebal dan akan menjurus ke arah menjalani kehidupan yang beteraskan kepentingan diri. Nilai-nilai seperti bergotong-royang, bertimbang rasa, tolak ansur, sopan santun, dan rendah diri yang terpancar jelas dalam hampir semua kebudayaan akan ditolak ke tepi. Tanpa nilai-nilai ini, manusia tidak mungkin dapat memupuk hubungan yang erat dan ikhlas dengan masyarakat di sekelilingnya. Akhirnya, perpaduan antara manusia akan mula goyah dan kita akan berhadapan dengan pelbagai pergeseran dan perbalahan yang akan mengancam kestabilan sosial dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment