Faedah Berjimat Cermat

- CONTOH KARANGAN -

Faedah berjimat cermat :

          Pada era globalisasi ini, amalan berjimat cermat sangat digalakkan dalam kehidupan. Tambahan pula, Perdana Menteri turut menyeru rakyat supaya berjimat cermat untuk menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Seruan beliau ini harus diberikan perhatian oleh semua lapisan masyarakat kerana banyak faedah yang dapat diperoleh jika amalan ini menjadi budaya masyarakat di negara kita. Namun begitu, sikap segelintir masyarakat yang bersikap hangat-hangat tahu ayam dalam berjimat menyebabkan amalan ini terhenti di tengah jalan.

          Jika ditelusuri secara mendalam, budaya berjimat cermat dalam kehidupan dapat mengurangkan perbelanjaan harian. Hal ini demikian kerana, kita hanya membeli barangan yang kita perlukan dan bukannya barangan yang sekadar memenuhi tuntutan hawa nafsu kita. Kita juaga akan membeli barangan buatan tempatan yang lebih murah harganya. Sebagai contohnya, membeli kasut buatan tempatan bukan sahaja tahan lama bahkan amat berbaloi kerana harganya yang berpaptutan dan memberikan keselesaan.

          Selain itu, amalan berjimat cermat juga dapat menambahkan wang simpanan kita. Apabila kita berjimat, lebihan wang tersebut dapat disimpan di institusi kewangan dan akan menjadi banyak jika kita menyimpan secara konsisten walaupun dalam bilangan yang sedikit bak kata pepatah sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. Wang simpanan ini amat besar kegunaannya untuk keperluan pendidikan, kesihatan, atau membantu orang lain yang menghadapi kesukaran. Seperti pepatah malang tidak berbau, kita tidak dapat menduga perkara yang akan menimpa kita pada masa akan datang. Tuntasnya, budaya berjimat cermat merupakan tindakan yang bijak dalam membuat persediaan sebelum berlakunya sesuatu yang tidak diingini.

          Seterusnya, amalan berjimat cermat dapat mengelakkan pembaziran yang semakin berleluasa pada masa ini. Kadar pembuangan sisa makanan yang banyak dan pembelian barangan yang tidak perlu menjadi bukti bahawa sikap ini menjadi amalan di kalangan segelintir masyarakat Malaysia. Pembaziran ini merupakan satu kerugian kerana banyak jumlah wang yang digunakan untuk perkara-perkara yang tidak menjadi keutamaan kita. Tambahan pula, agama Islam melarang pembaziran dan jelas mengatakan bahawa sesiapa yang membazir, mereka itu bersaudara dengan syaitan. Jika dikaji sekali lagi, budaya berjimat cermat dapat melahirkan pengguna yang bijak kerana dapat mengelakkan pembaziran dalam membelanjakan wang. Dalam hal ini, pengguna yang bijak akan lebih berwaspada dan peka ketika membeli barang.
 
           Amalan berjimat cermat dalam pengurusan kewangan terutama dalam kalangan remaja mampu mendidik remaja lebih berdikari. Sebagai contohnya, jika remaja berjimat cermat, mereka tidak perlu bergantung pada ibu bapa ataupun pihak kerajaan untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membiayai kos pengajian mereka di pusat pengajiaan tinggi. Hal ini kerana, pada masa kini, banyak pelajar yang berharapkan pinjaman PTPTN untuk pembelajaran mereka walhal perkara ini menyebabkan ramai remaja terjebak dalam budaya berhutang. Oleh itu, jelaslah bahawa sikap berdikari dapat dipupuk dalam jiwa kita dengan amalan berjimat cermat.

          Di samping itu, amalan berjimat cermat juga dapat memupuk amalan menabung. Dengan menabung kita dapat mengumpul wang untuk masa hadapan. Bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Justeru, kita dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Sebagai anak bangsa yang bakal menjadi modal insan kepada pembangunan negara, kita sewajarnya menjadikan amalan menabung sebagai rutin kehidupan. Ringkasnya, menabung merupakan rencah untuk mengawal diri daripada sikap memboros.

          Natijahnya, amalan berjimat cermat besar faedahnya kepada individu dan negara. Oleh itu, semua pihak perlu menjadikan amalan ini sebagai satu keperluan dalam hidup bagi menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup. Kita juga harus mempraktikkan amalan ini sejak azali lagi. Bak kata pepatah, bersusah dahulu, bersenang-senang kemudian. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak mereka supaya berjimat cermat agar generasi akan datang lebih bijak menguruskan kewangan mereka.

No comments:

Post a Comment